Cyberjaya – Kementerian Pendidikan melancarkan Kempen Guru Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) yang membolehkan guru berkongsi pengalaman pengajaran menggunakan pendekatan berasaskan PAK21 dalam kelas masing-masing.

Kempen dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bermula semalam hingga 31 Januari tahun depan itu akan membuka ruang kepada lebih 400,000 guru berkongsi pendekatan terbaik dalam membawa unsur PAK21 ke dalam kelas kepada masyarakat.

Maszlee dalam ucapan pelancarannya berkata, PAK21 merupakan inisiatif kementerian dalam memperjuangkan pembelajaran berpusatkan murid dengan menumpukan kepada lima piawaian asas iaitu komunikasi, kolaborasi, pemikiran kritis, kreativiti serta nilai dan sahsiah (4K1N).

Maszlee turut berkongsi dapatan laporan ‘Future of Jobs di World Economic Forum’ yang menyatakan 65 peratus murid sekolah rendah masa kini akan bersaing untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang yang masih belum wujud lagi.

Atas faktor itu, katanya guru perlu bersedia dengan pedagogi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran agar kemahiran kendiri murid dapat ditingkatkan supaya sentiasa relevan dalam karier masing-masing.

Beliau berkata guru yang berminat boleh memuat naik maklumat strategi kreatif PAK21 yang digunakan di dalam kelas ke laman sesawang rasmi kempen  di http://www.gurupak21.com/ sama ada menerusi format penulisan 300 patah perkataan ataupun video berdurasi tiga minit.