Pendidikan Anak di Rumah: Beberapa Cadangan-

SOP Kementerian Pendidikan dah keluar. Hanya kelas SPM dan STPM yang dibenarkan sekolah. Walau bagaimanapun, anak yang lain juga perlu terus melalui proses pendidikan informal di rumah.

 

Anak-anak di rumah itu, kalau tak sempat buat kerja sekolah yang diberikan oleh cikgu melalui telefon pintar, usahakanlah sendiri. Usaha sendiri maksudnya bukan semata-mata ibu bapa kena duduk dan ajar sepenuhnya tapi sediakan bahan dan cara pelajaran yang memadai untuk mereka. Antara yang ibu bapa boleh buat di rumah, sekadarnya, adalah:

1. Beli buku aktiviti berdasarkan mata pelajaran anak-anak. Semak buku teks mereka sekali imbas kemudian cari buku yang sesuai. Yang ada banyak latihan berasaskan kandungan buku teks. Pergilah kedai buku, tanya mereka, mungkin boleh cadangkan.

2. Buat jadual sendiri untuk anak. Tak payah sampai 5 6 jam. Matlamat kita sekarang untuk pastikan otak mereka kekal aktif dan bekerja, bukan untuk kejar A dalam peperiksaan. Satu hari 4 jam memadai. Selang-seli dengan rehat. Nonton tv, minum, makan, main game. Kemudian belajar lagi. Persekitaran rumah dengan sekolah berbeza, sesuaikan.

3. Kalau tak buat kerja sekolah, arahkan mereka membaca buku. Apa-apa sahaja. Komik pun tak mengapa. Asalkan mereka membaca. Kenali minat mereka waktu ini.

4. Faktor ibu bapa. Mungkin ada yang tak dapat membantu menyelesaikan tugasan anaknya di rumah kerana kurang ilmunya. Tak mengapa. Bagi anak kerja yang mudah, yang mereka mampu. Yang penting ibu bapa beri sokongan moral.

5. Mungkin juga ada anak yang lemah dalam pelajaran. Masih OK. Setiap mereka ada kelebihan sendiri. Kalau kemampuannya hanya mengenal ABC, berikan kertas dan pensil untuk menulis ABC. Kalau tahun 4 tapi keupayaan anak hanya seperti tahun 2, jangan kalut. Inilah masanya berikan latihan tahun 2 dan 3 kepadanya supaya dia ada masa latih tubi. Di sekolah, cikgu tak sempat menyelesaikan masalah anak itu sendirian.

6. TV juga membantu anak dalam pelajaran. Bukalah rancangan yang bermanfaat. Astro ada channelnya. TV Pendidikan pun ada. Atau kalau boleh akses Youtube juga bagus. Inilah masa untuk mereka teroka sesuatu ilmu di luar buku teks. Contoh, dalam YouTube ada rancangan tentang planet, sains tubuh manusia, ada sejarah, ada kira-kira (Numberblocks), ada ejaan (Alphablocks), bendera dan peta negara dan macam-macam lagi. Sangat menarik. Berikan mereka ilmu baharu. Hatta anak-anak "slow learner" atau buta huruf sekalipun akan tertarik dengan rancangan sebegini.

7. Berikan mereka tugasan hafazan surah lazim. Juz 30 pun boleh dihafalnya. Ini peluang terbaik yang kita ada. Dapat hafal satu dua pun tak apa. Asalkan ilmunya bertambah. Daripada tersia-sia masa dan peluangnya.

8. Beri mereka kerja tangan. Lego kecil misalnya. Ia sangat membantu mereka menjadi kreatif. Atau origami (ikut YouTube). Atau beri kotak dan barang terpakai suruh mereka teroka dan buat apa sahaja yang diinginkan. Ikutlah kesesuaian umur dan disiplin anak sendiri. Ibu bapa kenallah anak sendiri.

9. Ingat, anak-anak ini punya kemampuan yamg kita tak sedar. Jangan pandang enteng kepada mereka. Mereka bisa menangkap dan menyerap benda baharu dengan mudah, terutamanya benda yang mereka minat. Kita yang selalu rasa mereka tak boleh.

10. Ingat, Matlamat kita saat ini bukan nak masuk universiti esok, bukan nak dapat berketul-ketul A. Matlamat kita adalah mengekalkan momentum anak-anak. Buat sekadar yang mampu, pastikan otak mereka sentiasa aktif dan bekerja. Itu saja.

11. Cikgu tak mampu sediakan semua. Dan ibu bapa pun tak sempat ikut kerja yang cikgu sediakan. Inilah alternatif yang ada. Cubalah...

Moga bermanfaat.

Dr Sahul Hamid bin Mohamed

Pensyarah Kanan UPSI

Alamat: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, 81930 Bandar Penawar, Johor Darul Takzim.

No. Tel: 07-8223027